Sunday, January 3, 2010
Bukan Sukar Mendidik Anak Istimewa
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM), kerajaan telah mewujudkan
Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi membantu anak-anak golongan ini yang dikenali juga sebagai anak istimewa dalam proses pemulihan mereka.
Menurut aktivis sosial Gurmukh Singh, ada di antara OKU ini yang mempunyai kelebihan masing-masing, dan mereka boleh menjalankan aktiviti secara sendiri tanpa bantuan orang lain jika mereka diberi latihan di sekolah khas serta juga PDK.
Seorang ibu kepada anak istimewa, yang mahu dikenali sebagai Juliana berkata membesarkan anak kurang upaya bukanlah susah jika ibu bapa serta penjaga tahu bagaimana cara mendidik dan memberi peluang serta ruang bagi mereka mempamerkan bakat yang ada.
"Saya lihat bagaimana selepas anak saya yang kurang upaya berdaftar dan menjalani program pemulihan di PDK, terdapat banyak perubahan berlaku seperti dia bertambah yakin dan lebih berani mencuba sesuatu," kata Juliana.
MEMBESARKAN ANAK KURANG UPAYA
Bagi Ida, seorang penjawat awam yang mempunyai anak Sindrom Down, mendidik anak kurang upaya bukanlah sangat sukar seperti dijangkakan ramai, cuma ia memerlukan banyak kesabaran.
"Saya menghantar anak ke Pusat Nasional Yayasan Sindrom Down Kiwanis (KDSF) di Petaling Jaya dan dia telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi pengenalan kognitif serta pergerakan fizikal," kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Bagi Ida, banyak cabaran perlu dihadapi bagi menjaga anak seperti ini terutama apabila mereka menghadapi beberapa masalah kesihatan yang kerap memerlukan rawatan hospital.
"Anak saya juga mempunyai jadual rutin pemeriksaan kesihatan di hospital kerana mempunyai masalah respiratori serta perkara lain yang bersangkutan Sindrom Down," kata beliau.
Jurupulih anggota, Jenny Chin berkata mendidik anak istimewa perlulah secara lembut dan jangan terlalu berkasar dengan mereka kerana boleh menyebabkan mereka memberontak dan melakukan perkara yang tidak diingini.
"Jangan berkasar atau buat mereka marah kerana dalam keadaan sebegini mereka boleh bertindak mengikut kemarahan sahaja".
Kata beliau didikan sempurna amat penting bagi anak istimewa dan ibu bapa boleh mendaftarkan mereka di institusi pemulihan agar dapat dibantu oleh pakar yang berpengalaman dalam bidang ini.
KANAK-KANAK ISTIMEWA
Bagi pensyarah Suhiadi Sanii, kehadiran anak istimewa merupakan satu cabaran besar bagi ibu bapa kerana tanggungjawab menjaga anak-anak ini lebih mencabar dan memerlukan lebih perhatian.
"Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu menjalankan apa yang sepatutnya diperlukan anak mereka. Anak-anak ini perlu diberi kasih sayang, didikan akhlak dan pendidikan akademik mengikut kemampuan masing-masing.
"Di Malaysia, kerajaan menyediakan banyak sekolah khas untuk memberi pendidikan bagi mereka yang dalam kategori anak istimewa. Ramai di antara mereka ini mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik sama seperti pelajar yang normal.
"Ada di antara mereka yang berjaya dalam kerjaya profesional masing-masing seperti dalam bidang undang-undang, ekonomi dan juga akademik," kata Suhiadi.
PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PDK)
Syaratnya anak-anak istimewa ini diberikan program pemulihan khas agar kemampuan mereka dapat dipertingkat.
Terdapat lebih 300 pusat PDK yang boleh menampung lebih 8,000 orang anak istimewa seperti mereka yang mengalami Sindrom Down dan kecacatan otak. PDK merupakan satu program yang disediakan oleh JKM untuk memberi latihan dan pemulihan bagi anak istimewa dalam masyarakat.
Suhiadi berkata membiarkan anak istimewa tanpa mendapat apa-apa usaha pemulihan dan pendidikan yang sewajarnya akan memburukkan lagi keadaan.
"Jika mereka diasuh dan diberi latihan, sudah pasti pergantungan terhadap ibu bapa dapat dikurangkan apabila kemampuan fizikal dan mental mereka bertambah baik".
Sikap ibu bapa tidak mahu menghantar anak istimewa ke sekolah atau institusi pendidikan khas berpunca daripada kurang keyakinan dan juga rasa malu mempunyai anak sedemikian.
"Perasaan tersebut perlu dikikis," kata beliau.
Kerajaan telah mengambil usaha untuk membela nasib OKU. Pembelaan itu bukan setakat memberi bantuan latihan khas dan bantuan alat sokongan, tetapi memberi peluang untuk OKU sama-sama menyumbang terhadap kemajuan negara.
Usaha berterusan kerajaan serta sokongan pihak swasta, pertubuhan kebajikan dan orang ramai memperlihat kesan positif dalam meningkatkan taraf hidup OKU.
Sikap prejudis dan diskriminasi orang ramai terhadap OKU juga semakin berkurangan.
LANGKAH PEMULIHAN
Ibu bapa, penjaga dan guru-guru mesti peka terhadap perkembangan normal kanak-kanak. Jika mereka mendapati berlaku kelembapan dalam perkembangannya, kanak-kanak itu mesti dibawa untuk saringan dan mengenal pasti masalah.
Setelah kurang-upaya atau kecacatan dikenal pasti, penjaga atau ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak istimewa itu berdaftar dengan JKM.
Borang pendaftaran ada disediakan di Pejabat Daerah JKM, klinik kesihatan dan hospital-hospital. Borang itu mesti disahkan oleh doktor bertauliah dan OKU berkenaan akan menerima kad pengenalan khas yang membolehkan mereka mendapat faedah-faedah disebabkan oleh kecacatan mereka.
Mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan pemulihan yang berkaitan dengan kecacatan mereka seperti pemulihan anggota, cara kerja, pertuturan, kaunseling yang juga terdapat di hospital kerajaan dan swasta dan di sesetengah klinik.
Bagi mendapatkan pendidikan formal, kanak-kanak kurang upaya perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendidikan Khas.
-- BERNAMA
Sindrom Down
Apakah Sindrom Down?
Sindrom Down ialah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seseorang kanak-kanak. Tiga salinan kromosom 21 (biasanya hanya dua salinan) terdapat dalam setiap satu sel.
Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak-kanak yang terlibat lahir dengan ciri-ciri fizikal dan boleh juga mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengannya..
Nota :
- Sindrom bermakna kehadiran sekumpulan gejala dan tanda yang boleh menunjukkan kepada sesuatu penyakit
- Sindrom ini mengambil nama seorang doktor Inggeris bernama Dr. Langdon Down, orang pertama yang menjelaskan penyakit ini pada tahun 1866
Apakah kekerapan terjadinya Sindrom Down?
Kadar kejadian keseluruhannya ialah satu pada setiap 800 kelahiran. Risiko menjadi tinggi dengan bertambahnya umur ibu semasa hamil.
Bagaimanakah Sindrom ini disahkan?
Pengesahan penyakit ini dilakukan dengan ujian darah kanak-kanak itu bagi mengesan kehadiran kromosom tambahan kromosom nombor 21. Ujian juga boleh dilakukan semasa kehamilan melalui ujian darah, pemeriksaan ultrasound atau analisis cecair mentuban (amniotic fluid)
Ciri-ciri fizikal
Ciri-ciri fizikal termasuklah:
- Tubuh yang pendek
- Kepala bersaiz kecil
- Raut wajah yang rata dengan kedudukan mata sedikit ke atas
- Lidah terjelir
- Satu garis lurus di tapak tangan, tangan yang besar, jari tangan yang pendek dan jurang yang besar di antara ibu jari dengan jari kedua kaki.
- Pertumbuhan yang lambat.
- Kecacatan mental yang ringan atau sederhana
Gambar seorang kanak-kanak Sindrom Down
Masalah-Masalah Kesihatan yang Berkaitan Sindrom Down dan Rawatan
- Pertumbuhan yang lambat, kesukaran untuk belajar dan bertutur
- Kanak-kanak berkeadaan lembik semasa lahir, tumbesaran terbantut di peringkat bayi dan kanak-kanak.
- Lambat atau sukar dalam pembelajaran
- Lambat dalam pertuturan
- Penyakit jantung kongenital
- Kanak-kanak Sindrom Down biasanya lebih berisiko tinggi untuk dilahirkan dengan penyakit jantung berbanding dengan kanak-kanak biasa
- Kecacatan pertumbuhan perut
- Intestinal atresia
- Tiada dubur
- Mudah mendapat jangkitan
- Pemberian imunisasi boleh diberi mengikut jadual. Bawalah berjumpa dengan doktor segera bila demam atau nampak kurang sihat.
- Masalah pendengaran dan penglihatan
- Saringan dan rawatan perlu dibuat bergantung kepada masalah yang dikesan.
- Gangguan fungsi Tiroid
- Pengeluaran hormon yang rendah, hipotiroid. Perlu rawatan penambahan hormon, contohnya tiroxin
- Pengeluaran hormon yang berlebihan, hipertiroid. Perlu rawatan untuk mengawal pengeluaran hormon.
- Barah (kanser)
- Leukemia akut lebih mudah berlaku kepada Sindrom Down berbanding kanak-kanak biasa
- Saringan dan rawatan perlu dibuat bergantung kepada keadaan.
Kanak-kanak ini akan mendapat faedah yang besar dari program pengesanan awal, pendidikan khas dan rawatan pertuturan. Dapatkan maklumat dari doktor atau jururawat anda tentang kemudahan perkhidmatan pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas yang paling hampir dengan tempat tinggal.
Doktor akan membuat saringan terhadap kanak-kanak Sindrom Down untuk mengesan sebarang penyakit jantung kongenital dan merujuk untuk penilaian lanjut jika perlu. Penyakit ini mungkin memerlukan rawatan perubatan atau pembedahan.
Biasanya kecacatan ini dapat dikesan selepas lahir dan perlu di bedah. Walaupun jarang berlaku, tetapi kadar kejadian ini tinggi berbanding dengan kanak-kanak biasa.
Pencegahan
- Kaunseling keturunan: Risiko untuk mendapat anak berikutnya yang juga Sindrom Down bergantung kepada jenis kecacatan kromosom anak dan umur ibu bapanya.
- Kadar risiko kejadian berulang adalah 1%
- Amalan merancang keluarga
Pemulihan
- Program intervensi
- Terapi carakerja
- Terapi pertuturan
- Pendidikan khas
- Latihan kemahiran khas
Tujuan rawatan pemulihan ialah bagi membantu kanak-kanak tersebut mencapai keupayaan dan perkembangan maksima serta mampu berdikari.
Program pemulihan boleh didapati di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau di pusat-pusat anjuran pertubuhan sukarela bukan kerajaan. Maklumat lanjut boleh didapati dari pusat sumber tempatan seperti: hospital (klinik kanak-kanak), klinik kesihatan, Pejabat Kebajikan Masyarakat atau Pejabat Pendidikan (Unit Pendidikan Khas).
Kanak-kanak ini perlu didaftarkan seawal mungkin di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan. Ini bagi memudahkan ia mendapat jagaan kesihatan, kebajikan dan penempatan di sekolah-sekolah khas supaya mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Doktor yang merawat perlu mengisi borang-borang tertentu untuk memudahkan merancang program intervensi awal.
Kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat layak untuk mendapat beberapa keistimewaan rawatan kesihatan dari klinik atau hospital kerajaan..
Kumpulan Sokongan
Terdapat banyak kumpulan sokongan di seluruh dunia. Maklumat lanjut boleh didapati dari internet. Contohnya:
- Kiwanis Down Syndrome Foundation
Alamat : KDSF-National Centre
Lot 13490 Jalan Jenjarum, off Jalan SS23/1, Taman SEA
47400 Petaling Jaya
Tel: 03-78030179 Fax: 03-78064862
Website : www.kdsf.org.my
e-mail : admin@kdsf.org.my
info@kdsf.org.my
- Persatuan Sindrom Down Malaysia
Alamat : 79 Lingkungan U-Thant, 55000 Kuala Lumpur
Tel : 03-42579818
Website : http://www.mysindromdown.org
e-mail : psdm@tm.net.my
- Langdon Down Centre
2a Langdon Park
Teddington
TW11 9PS
Tel : 0845 230 0372
Fax : 0845 230 0373
Website : http://www.downs-syndrome.org.uk
Email : info@downs-syndrome.org.uk
Memulihkan Anak Istimewa
SEMBILAN bulan di dalam kandungan, setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak yang dilahirkan sempurna dan sihat. Namun, siapalah manusia untuk menentukan segalanya. Anak yang dianugerahkan, baik sempurna atau tidak harus diterima dengan hati yang reda kerana setiap kelahiran merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai.
Memang ada anak-anak yang lahir dengan kecacatan seperti otaknya tidak berupaya untuk mengawal pergerakan atau memproses maklumat yang diterima dengan sempurna.
Situasi ini menyebabkan mereka tidak mampu mendengar, melihat, merasa, menyentuh, mengimbangi badan dan mengawal pergerakan otot-otot dengan baik.
Keadaan ini berkait rapat dengan masalah-masalah seperti autisme, attention deficit disorder (Add), attention deficit hyperactivity disorder (Adhd) dan lain-lain kecelaruan perkembangan saraf.
Sungguhpun demikian, kanak-kanak ini perlu juga meneruskan kehidupan dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Sekurang-kurangnya mereka boleh berdikari dan tidak perlu bergantung selama-lamanya pada orang lain.
Melihatkan ramai kanak-kanak istimewa ini yang tidak mendapat pemulihan yang betul telah membuka pintu hati Ahmad Fathir Badri, 34, membuka Pusat Jagaan dan Pemulihan Harian Ramah (PJPHR) di Seksyen 10, Shah Alam, Selangor, sejak setahun lalu.
PJPHR adalah pusat jagaan harian dan latihan pemulihan untuk kanak-kanak kurang upaya fizikal dan mental.
PJPHR ditubuhkan bagi membantu kanak-kanak kurang upaya ini menghadapi masa depan yang lebih cerah serta mampu berdikari.
Bermodalkan lebih RM100,000, PJPHR yang didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini mempunyai seramai lapan orang kanak-kanak istimewa berumur antara tiga tahun hingga 13 tahun.
Menurut Ahmad Fathir, di antara program yang dijalankan di PJPHR ialah penjagaan harian, terapi multisensori, perkembangan awal kanak-kanak, pendidikan kanak-kanak lembam, pemulihan selepas rawatan hospital untuk kanak-kanak dan latihan pemulihan serta jagaan di rumah.
“Di PJPHR, kami menggalakkan penglibatan ibu bapa atau penjaga dalam setiap program bagi mempastikan proses pemulihan dapat dipercepatkan.
“Ibu bapa serta penjaga juga diharap dapat menemani anak-anak semasa latihan sedang dijalankan,” kata pemegang Ijazah Teknologi Maklumat dari universiti tempatan ini.
Beliau menambah, sesi latihan yang lebih efektif bersama ibu bapa dapat memberi sokongan kepada anak-anak ini mengulangi latihannya di rumah, serta memberi maklum balas kepada ahli terapi mengenai perkembangan anak.
Kanak-kanak yang dihantar ke pusat itu telah disahkan oleh pakar perubatan mempunyai masalah-masalah seperti autisme, spastik, hiperaktif, lembam, serebral palsi, sindrom down dan terencat akal.
“Biasanya kanak-kanak istimewa ini kalau pergi ke hospital kerajaan, dua bulan baru dapat temu janji dengan doktor bagi sesi rawatan. Tetapi bila mereka datang ke sini, mereka boleh mendapat rawatan bila-bila masa sahaja,” ujar Ahmad Fathir yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang rehabilitasi.
Mempunyai empat orang jurupulih cara kerja yang memiliki Diploma Jurupulih Cara Kerja dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), pusat ini menggunakan pendekatan menyeluruh dalam setiap rawatan dan program yang telah disediakan.
Menurut Ahmad Fathir lagi, keistimewaan pusat ini ialah terdapat bilik pelbagai sensori (MSR SpaceRoom) yang dilengkapi dengan peralatan berharga RM40,000.
Bilik yang konsepnya dibawa masuk dari England ini, memberi rangsangan sensori serta ketenangan sebelum sesi terapi dilakukan.
Bilik ini digunakan oleh jurupulih bagi membantu merangsang lima deria iaitu bau, dengar, sentuh, lihat dan rasa.
Bilik eksklusif ini disediakan sebagai satu alternatif kepada kanak-kanak istimewa menikmati persekitaran yang unik. Ia juga dapat membantu mereka menikmati suasana yang tenang dan nyaman.
Secara tidak langsung mereka akan lebih relak dan akan memudahkan jurupulih mendapatkan maklumat bagi membantu mempertingkatkan keupayaan mereka.
Teknik terapi PJPHR bagi kanak-kanak berumur dua tahun ke atas.
Gross motor (Pergerakan kasar)
Untuk mempertingkatkan kebolehan anggota badan yang lemah atau tidak boleh melompat, berlari, merangkak, mengesot dan duduk secara betul.
Fine motor (Pergerakan halus)
Untuk mengatasi masalah tidak boleh menggunakan permainan, tidak pandai menggunakan tangan dalam satu-satu aktiviti, susah memegang pensel untuk melukis, mewarna dan mengelakkan diri bermain dengan permainan yang banyak.
Pembelajaran
Cara untuk memperbaiki lemah tumpuan, gelisah, lambat dan lembab, tidak teratur dan tidak kemas, tumpuan amat sedikit, hiperaktif, tidak boleh mengikut arahan dan sebagainya.
Kebolehan kendiri
Cara mengatasi tiada atau kurang kebolehan berdikari daripada segi menyuap makanan, memakai baju, pergi ke tandas, menjaga kebersihan diri dan lain-lain.
Kebolehan bermain
Cara berhadapan dengan masalah tidak pandai, faham bermain, mengenai mainan, ingin bermain dan masalah kecacatan mengehadkan kebolehan bermain. Memberi peluang kepada kanak-kanak ini bermain kerana ia boleh merangsang perkembangan emosi dan berinteraksi dengan persekitaran.
Kognitif dan konsep asas
Membantu mereka yang menghadapi pemikiran yang lemah, tidak boleh menerima, memahami dan mengikut arahan. Masalah mengenal asas warna, bentuk, keadaan, benda, tempat, rasa, nombor, huruf dan lain-lain.
Psikososial
Mengatasi masalah sosial dan berinteraksi sesama sendiri seperti di dalam rumah, di sekolah dan komuniti.
Skil kehidupan dan pravokasional
Cara berhadapan dengan masyarakat, menambah keyakinan, keberanian hidup berdikari. Mempertingkatkan kebolehan seperti berkebun serta membeli barangan harian.
Friday, January 1, 2010
Kanak-kanak istimewa
Kanak-kanak istimewa
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Kanak-kanak istimewa adalah sebahagian daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU), iaitu seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuhnya, atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu, dan tidak dapat hidup bermasyarakat sama ada dari segi fizikal, atau mental, dan berlaku sama ada sejak dilahirkan, ataupun sesudah itu.
Kategori orang kurang upaya
Terdapat enam kategori orang kurang upaya yang turut melibatkan kanak-kanak, iaitu:
- Kurang Upaya Pendengaran - termasuk pekak dan bisu.
- Kurang Upaya Penglihatan - termasuk rabun, buta.
- Kurang Upaya Fizikal - iaitu kecacatan anggota badan misalnya penyakit polio, kudung, distrofi otot, dan sebagainya.
- Celebral Palsy - meliputi hemiplegia(sebelah badan), diplegia(kedua belah kaki), dan kuadriplegia(kedua-dua belah tangan dan kaki)
- Masalah Pembelajaran - lewat perkembangan bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun; Sindrom Down, autisme, ADHD, terencat akal(berusia lebih tiga tahun), dan masalah lain seperti disleksia, disgrafia, diskakulia, dan lain-lain.
- Lain-lain menurut diagnosis perubatan yang merangkumi semua masalah kurang upaya.
Kanak-kanak ini memerlukan rawatan, bimbingan, bantuan, dan perhatian khusus daripada orang di sekeliling mereka. Janganlah kita menyisihkan mereka. Bantulah sedaya upaya kita kerana mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri.
Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) di Malaysia
Sesungguhnya sebagai warga Malaysia, kita semua amat bertuah kerana kerajaan amat prihatin terhadap insan-insan istimewa dan kurang upaya. Ini terbukti dengan penubuhan sebuah kementerian khusus yang antara peranan dan tanggungjawabnya, adalah menjaga kebajikan golongan yang tidak bernasib baik, iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat. Di bawah kementerian inilah diwujudkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang amat peka dan sentiasa bersedia mendengar serta membantu dalam apa jua cara, untuk menjadikan golongan istimewa ini sebagai warganegara yang berguna.
Perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan ini meliputi kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, orang papa, keluarga, mangsa bencana, komuniti, dan juga skim bantuan kebajikan. Jabatan ini juga bertanggungjawab mengeluarkan statistik jumlah Orang Kurang Upaya melalui pendaftaran yang dilakukan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, dan Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
Faedah
Antara faedah yang diperoleh apabila mendaftar dengan JKM adalah:
- rawatan perubatan
- khidmat pemulihan, rawatan lanjutan, dan latihan vokasional
- pendidikan akademik di sekolah khas dan institusi tertentu
- bantuan kewangan, peralatan tiruan, dan alat-alat kemudahan
- pertimbangan Elaun Pekerja Kurang Upaya
- pertimbangan jagaan dan perlindungan, didikan dan latihan di institusi JKM/NGO dalam program Pemulihan Dalam Komuniti(PDK)
- peluang pekerjaan di sektor awam atau sektor swasta
Banyak faedahnya apabila golongan ini mendaftar dengan pihak JKM kerana daripada sinilah dapat difikirkan apa-apa jua bentuk bantuan yang diperlukan oleh mereka. Sekiranya, anda mengetahui mana-mana kanak-kanak istimewa di tempat anda yang belum mendaftar, bantulah mereka dengan mengunjungi pejabat JKM yang berhampiran.
Ketakupayaan Pembelajaran
Kanak-kanak istimewa sering dikaitkan dengan ketakupayaan pembelajaran. Sebenarnya, ketakupayaan pembelajaran bukanlah bermaksud bodoh, lembab, malas, atau tahap kecerdasan yang rendah. Dan ini juga bukanlah berlaku akibat daripada perbezaan budaya, status sosial, kekangan ekonomi, dan pengaruh persekitaran. Ketakupayaan pembelajaran bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak ini, yang menjejaskan cara seseorang itu memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu maklumat. Terdapat beberapa bentuk ketakupayaan pembelajaran iaitu;
- Disleksia - ini adalah ketakupayaan pembelajaran yang menjadikan kanak-kanak itu sukar membaca, menulis, dan mengeja dalam cara yang biasa.
- ADHD(Attention Deficit and Hyperactivity Disorder) - ini adalah satu gangguan yang menjejaskan keupayaan otak untuk menumpukan atau memfokus kepada sesuatu benda. Misalnya, seseorang kanak-kanak itu mungkin normal, cerdas, dan bijak tetapi dia tidak dapat menumpukan perhatiannya dan mengawal tingkah lakunya sendiri.
- Dispraksia - ini satu ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan masalah dengan gerakan anggota tubuh.
- Diskalkulia - satu jenis ketakupayaan pembelajaran yang melibatkan matematik, apabila kanak-kanak itu mengalami masalah dalam pengiraan dan hitungan. Walau berkali-kali diajar dengan cara yang paling mudah, namun di tetap sukar memahaminya.
- Autisme - ini pula merujuk kepada ketakupayaan kanak-kanak mengalami dunia persekitarannya, sebagaimana yang dialami oleh rakan-rakannya yang normal. Mereka sukar bercakap dan berbual-bual, sebaliknya mendiamkan diri serta memerlukan bantuan untuk berkomunikasi. Mereka juga bertindak balas dalam cara yang berbeza. Bunyi yang indah mungkin membingitkan telinga mereka. Sentuhan dan belaian yang manja mungkin menjadi sesuatu yang tidak disenangi. Mereka juga tidak dapat mengaitkan sesuatu perkataan dengan maksudnya. Jadi, mereka mungkin mengulang-ulang perkataan-perkataan tertentu, panas baran, dan bertindak balas secara luar biasa.
Bantuan untuk Kanak-kanak istimewa dan Orang Kurang Upaya
Selaras dengan Kempen Masyarakat Penyayang, Kerajaan telah menyediakan pelbagai cara dan kaedah untuk membantu golongan istimewa serta kurang upaya ini, dan antaranya adalah;
- Kemudahan galakan pelepasan cukai : bagi ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya, pelepasan cukai berganda diberikan disertai rebet untuk membeli peralatan khas untuk kegunaan sendiri, anak, dan ibu bapa orang kurang upaya. Orang kurang upaya sendiri juga menikmati pelepasan cukai tambahan sebanyak RM5000.
- Kemudahan pengangkutan awam : terdapat insentif potongan harga atau tambang misalnya, bagi Sistem Penerbangan Malaysia (50% potongan penerbangan dalam negeri), KTM (50% konsesi tambang), dan semua perjalanan dengan bas Transnasional diberikan konsesi 50%. PUTRA-LRT juga memberikan konsesi tambang kepada golongan ini.
- Kemudahan perumahan : DBKL menyediakan kemudahan menyewa rumah-rumah pangsa atau kos rendah DBKL pada kadar sewa yang istimewa.
- Pengecualian bayaran rawatan perubatan : dikecualikan bayaran di Hospital Kerajaan, tidak termasuk Hospital Universiti dan Institusi, serta tidak termasuk bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan.
- Pengecualian bayaran dokumen perjalanan : dikecualikan bayaran perkhidmatan menyedia dan memproses dokumen perjalanan(Pasport Antarabangsa).
- Kemudahan peluang pekerjaan : kuota 1% untuk golongan kurang upaya bagi sektor kerajaan dan Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya bagi Sektor Swasta.
- Kemudahan pendidikan : terdapat sekolah pendidikan khas, pengecualian bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya pendengaran untuk latihan kemahiran di institusi pengajian kelolaan Kementerian Pendidikan, dengan elaun bulanan RM300.
- Kemudahan dalam aktiviti harian : terdapat peruntukan Kod Amalan Awam bagi Orang Kurang Upaya ke Bangunan Awam, supaya mesra orang kurang upaya dengan menyediakan 'ram', 'railing', laluan untuk kerusi roda, lif khas, tempat letak kereta khas, dan tandas khas serta lain-lain.
- Pengecualian 50% Duti Eksais ke atas Kereta/Motosikal Nasional bagi golongan cacat anggota.
- Insentif lain seperti daripada Syarikat Telekom Malaysia Berhad, kemudahan memulakan perniagaan kecil dengan bantuan geran RM2700, kemudahan pencen terbitan dan sebagainya.
Perkhidmatan Oleh KPM
Perkhidmatan kanak-kanak kurang upaya Program Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia dilaksanakan melalui:
Program Pendidikan Khas Integrasi ini ditadbirkan sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Negeri manakala Jabatan Pendidikan Khas bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar dan pengisiannya. Kurikulum Program Pendidikan Khas : Kurikulum yang diguna pakai di sekolah-sekolah pendidikan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi ialah kurikulum kebangsaan dan kurikulum alternatif. Murid Pendidikan Khas menjalankan aktiviti kokurikulum seperti murid biasa. Pentaksiran Murid-Murid Pendidikan Khas: Semua pelajar pendidikan khas mengambil peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kecuali mereka yang mengikuti kurikulum alternatif. Bagi murid-murid yang mengikuti kurikulum alternatif iaitu Standard Kemahiran Kebangsaan (SKK) akan ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia, dan Kursus Seni Lukis dan Seni Reka akan dianugerahkan Sijil Perakuan Sekolah dan Sijil Khas Vokasional. Program Pendidikan Pemulihan Khas:
Syarat kemasukan murid ke program di Sekolah Pendidikan Khas ialah:
Tempoh Belajar:
Semua sekolah rendah pendidikan khas mengikuti aliran akademik. Kemudahan-kemudahan yang disediakan di peringkat sekolah rendah termasuklah asrama dan makan minum percuma. Murid yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi boleh mengikuti kurikulum kebangsaan atau kurikulum alternatif. Pendidikan menengah menyediakan 2 jenis aliran iaitu akademik dan vokasional:
Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas : Ditubuhkan pada Tahun 1999 bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan kepakaran kepada ibu bapa dan murid-murid berkeperluan khas setempat. Pusat ini bersifat saling lengkap-melengkapi kepada agensi-agensi yang berkecimpung dalam hal-hal yang berkaitan dengan keperluan khas. Antara perkhidmatan yang disediakan:- Khidmat audiologi, Kelas bahasa isyarat, Aktiviti terapi, Kaunseling ibu bapa, Perpustakaan permainan, dan Bahan rujukan. Proses Pendaftaran Kanak-Kanak ke Program Pendidikan Khas Langkah 1: Mula Kanak-kanak disyaki mengalami masalah pembelajaran oleh guru atau ibu bapa. Langkah 2: Mengenalpasti Mengenalpasti kanak-kanak yang disyaki mempunyai masalah kurang upaya. Pengesahan murid berkeperluan khas oleh pengamal perubatan di hospital kerajaan, pusat kesihatan atau klinik swasta bagi tujuan penempatan, dan mendapatkan saringan awal daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Langkah 3: Pendaftaran Daftarkan kanak-kanak kurang upaya dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mendapatkan pendidikan bersesuaian. *Juga daftarkan kanak-kanak kurang upaya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan bersesuaian. Langkah 5: Kelayakan Kanak-kanak kurang upaya yang disahkan telah bersedia ke sekolah akan disaring di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri untuk tujuan penempatan. *Kanak-kanak yang disahkan belum bersedia ke sekolah, mempunyai kecacatan yang serius, ataupun tidak layak syarat-syarat kemasukan Program Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia, akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan pemulihan bersesuaian melalui Pemulihan Dalam Kommuniti (PDK). Langkah 4: Penempatan Murid akan diberi peluang penempatan sama adalah Sekolah Pendidikan Khas atau Program Pendidikan Khas Integrasi. Penempatan akan dibuat berdasarkan alamat yang terdekat dengan sekolah atau Program Pendidikan Khas. Langkah 5: Tempoh Percubaan Murid yang ditempatkan dengan Program Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia diberi tempoh percubaan selama 3 bulan. Langkah 6: Kekekalan Selepas tempoh percubaan, murid yang berjaya mengikuti Program Pendidikan Khas akan dikekalkan dalam program. Murid yang gagal mengikuti Program Pendidikan Khas KPM akan dirujuk balik kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan pemulihan bersesuaian melalui Pemulihan Dalam Kommuniti (PDK). A KDISC FACTSHEET The Kiwanis Disability Information and Support Centre No. 21 Jalan SS3/82, Petaling Jaya, 47301, Selangor, Malaysia Tel: 03-7877 0096, Fax: 03-7877 8096 Email: info@disabilitymalaysia.com Website: www.disabilitymalaysia.com A Community Service Project of the Kiwanis Club of Pantai (KL) |
Selamat Datang 2010
Selamat tinggal 2009 dan selamat datang 2010
Semoga tahun 2010 ini akan memberikan sejuta kemanfaatan buat kita semua.Semoga apa yang kita lakukan mendapat keberkatan dan keredhaanNya. Buangkan segala sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita - sakit hati, benci, cemburu, hasad dengki, buruk sangka dan berfikiran negatif kepada manusia lain. Jika kita berbaik sangka dengan semua makhluk Allah, insya-Allah tidak akan ada perpecahan lagi terutama di kalangan umat Islam, jiran tetangga, sahabat handai dan terutama rakan sekerja. Fikir-fikrkanlah. Tuhan mengurniakan akal kepada manusia melebihi nikmat yang diberikan kepada makhluk lain, jadi gunakanlah ia untuk kebaikan sejagat bukan masing-masing berlumba-lumba mengejar duniawi dengan mengenepikan hati, perasaan dan jiwa manusia lain. Tepuk dada tanyalah iman, jangan tanya selera kerana selera biasanya akan menuruti hawa nafsu yang sentiasa mengarahkan kepada kejahatan. Jaga hati, hiasi peribadi..
Tuesday, December 29, 2009
Selamat Kembali Ke Sekolah
Pejam celik- pejam celik cuti akhir tahun hanya tinggal 3 hari sahaja lagi. Dalam kesibukan bercuti dan melayani nikmat menjadi seorang guru di penghujung tahun, rupa-rupanya catatan perjalanan kelas khas sudah lama bertangguh. Cepat sungguh masa berlalu. Andai dapat kuputarkan masa... Insya-Allah lembaran baru 2010 bakal mencipta sejarah kegemilangan bagi blog PKBP SMK Jabi. Tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada anak-anak istimewa yang meraih kecemerlangan dalam peperiksaan PMR 2009 yang baru seminggu diumumkan. Ada yang gembira dan ada yang berduka. Bagi yang berjaya, tahniah diucapkan dan bagi yang kurang berjaya jangan bersedih dan jangan putus asa, peluang sentiasa terbentang di hadapan anda cuma anda perlu istiqamah dalam melakukan sesuatu. Jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan hidup kita dan insya-Allah Dia perluaskan segala rezeki kita mencakupi semua aspek kehidupan. Percayalah pada janji Allah. Muhasabah diri jaga peribadi!
