Monday, January 4, 2010

Kempen Pendaftaran OKU

Pendahuluan
Kempen Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) bertujuan untuk menggalak dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap
perlunya orang kurang upaya mendaftar diri dengan Jabatan tersebut. Pendaftaran ini
penting bagi membolehkan intervensi awal untuk mengelak kecacatan lebih teruk dan
merancang serta menyediakan perkhidmatan sesuai untuk golongan orang kurang upaya.
Menerusi kempen pendaftaran yang dijalankan menerusi televisyen, radio dan media cetak
diharapkan dapat mengenal pasti jumlah sebenar golongan terbabit dan pada masa yang
sama dapat membantu kerajaan membuat perancangan yang diperlukan.

Objektif kempen pendaftaran OKU
• Mengetahui bilangan dan taburan orang kurang upaya untuk perancangan perkhidmatan,
program pemulihan, pencegahan, latihan dan pendidikan.
• Menyediakan kemudahan sesuai.
• Mengenalpasti orang kurang upaya mengikut jenis kecacatan atau sebagai kad
pengenalan diri bagi mereka berurusan dengan pihak berkenaan.

Perkhidmatan/kemudahan untuk orang kurang upaya
• Bantuan Alat Tiruan/Sokongan (Assisstive Devices)
Bantuan ini bertujuan membantu orang kurang upaya membeli peralatan tiruan/sokongan
seperti kerusi beroda, kaliper, anggota tiruan, tongkat putih (white cane), mesin Braille dan
lain-lain peralatan yang tidak mampu dibeli oleh orang kurang upaya. Dengan adanya alat
ini mereka boleh bergerak bebas dan mencari nafkah hidup tanpa bergantung sepenuhnya
pada orang lain.

Bagi menimbang permohonan, faktor berikut diambil kira :
o Berdaftar dengan JKM.
o Keperluan pengguna alat atas pengesahan dan sokongan Pegawai Perubatan/doktor.
o Tidak mampu membeli peralatan tersebut.
o Sumbangan bagi membeli alat itu (jika perlu).

• Geran Pelancaran
Bertujuan membantu orang kurang upaya yang ada pengetahuan dan kemahiran bagi
menjalankan projek jayadiri atau perniagaan kecil yang mana mereka tidak dapat
menjalankannya sebelum ini sebab ketiadaan modal dan peralatan. Geran ini membolehkan
orang kurang upaya melancarkan rancangan jayadiri mereka agar dapat berdikari dengan
usaha sendiri. Had maksimum geran pelancaran ialah RM 2,700.
Kelayakan :
o Berdaftar dengan JKM.
o Orang kurang upaya yang mempunyai pengetahuan/kemahiran bagi menjalankan perniagaan kecil sebagai mata pencarian.
o Orang kurang upaya yang mempunyai minat dalam bidang keusahawanan.
o Keutamaan hendaklah diberi kepada bekas pelatih institusi atau klien Jabatan.

• Elaun Pekerja Cacat (EPC)
Skim ini bertujuan menggalakkan orang kurang upaya bekerja dan terus berdikari tanpa
bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain. Skim ini mempunyai beberapa tujuan :
o Sebagai penyenggaraan pendapatan (income maintenance) untuk memenuhi keperluan asas.
o Sebagai elaun insentif/perangsang bagi menggalakkan seseorang yang kurang upaya berminat berkerja dan berdikari.
o Untuk meningkatkan taraf hidup orang kurang upaya.

Kelayakan :
Pekerja orang kurang upaya termasuk yang bekerja secara sendiri atau bekerja dengan
majikan termasuk pekerja di Bengkel Terlindung JKMM dan Bengkel Terlindung yang
dikendalikan oleh pertubuhan sukarela (NGO) serta pekerja di bawah Program Rumah
Kelompok (termasuk Taman Sinar Harapan) adalah layak menerima elaun ini sebanyak RM
200 sebulan sekiranya syarat berikut dipenuhi :
o Berdaftar dengan JKM sebagai orang kurang upaya.
o Pendapatan bulanan pemohon tidak melebihi RM 750 sebulan tidak termasuk pendapatan keluarga.
o Berumur 16 tahun ke atas.
o Pemohon mestilah menyertakan slip gaji/surat pengesahan pendapatan daripada majikan/surat pengesahan pendapatan daripada pemohon sendiri bagi yang bekerja sendiri.

• Latihan vokasional di Pusat Latihan Perindustrian Dan Pemulihan (PLPP), Bangi
Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk memberi latihan vokasional dan pemulihan perubatan.
Kemasukan adalah terhad kepada kategori kurang upaya yang memenuhi syarat-syarat
berikut :
Kursus vokasional :
o Berdaftar dengan JKM sebagai orang kurang upaya anggota.
o Pemohon perlu memiliki kelulusan minimum Sijil Rendah Pelajaran/Peperiksaan Menengah Rendah atau memiliki kemahiran asas.
o Berumur 18 hingga 40 tahun.
o Boleh dilatih dengan kemahiran dan boleh mengurus diri.
o Tidak mempunyai rekod masalah disiplin/jenayah.

Latihan kursus-kursus yang ditawarkan :
Kursus vokasional – Pembantu Tadbir Sistem Maklumat (MLVK), Rekaan Fesyen dan
Jahitan (MLVK), Elektrikal (MLVK), Elektronik, Membuat Alat Sokongan (Protestik &
Orthotik), Multimedia dan Pembuatan Kerusi Roda.

Kursus pra-vokasional :
o Berdaftar dengan JKM sebagai orang kurang upaya anggota.
o Pemohon tidak memerlukan kelulusan akademik.
o Berumur 14 hingga 25 tahun.
o Boleh mengurus diri dan boleh mendapat manfaat dari latihan.
o Boleh membaca, menulis dan mengira.
o Tidak mempunyai rekod masalah disiplin/jenayah.
Kursus yang ditawarkan ialah bidang elektronik, komputer, lukisan dan jahitan.

• Jagaan dan pemulihan di Taman Sinar Harapan
Institusi ini memberi latihan kepada individu kurang upaya masalah pembelajaran sehingga
ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Institusi ini juga
memberi perlindungan dan jagaan kepada yang mengalami kecacatan akal yang teruk.

Antara program dan aktiviti yang disediakan ialah :
o Kelas akademik asas.
o Latihan pra-vokasional (jahitan, tukang kayu dan kraftangan), urusan rumah tangga, pertanian/berkebun bunga dan dobi.
o Latihan pemulihan seperti pemulihan hidup harian, pemulihan cara kerja, pemulihan anggota dan terapi muzik.
o Pendidikan agama dan moral.
o Sukan dan rekreasi.
o Aktiviti luar (lawatan, berkelah, gotong-royong dan sebagainya).

Kelayakan :
Setiap institusi Taman Sinar Harapan (TSH) boleh menerima masuk semua jenis kes orang
kurang upaya masalah pembelajaran yang terdiri daripada jenis terencat akal, autisme dan
down’s syndrome tanpa mengambil kira klasfikasi umur, jantina (kecuali TSH Jubli, TSH
Tampoi dan TSH Cheras) dan tahap kecacatan dari negeri-negeri yang berdekatan mengikut
zon-zon

• Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
Program ini diwujudkan sebagai program alternatif kepada perkhidmatan pemulihan di
institusi. Satu kaedah dalam pembangunan komuniti untuk golongan orang kurang upaya
menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat sendiri di mana memberi peluang
kepada orang kurang upaya menjalani pemulihan, mengecapi peluang sama rata dan
berinteraksi dengan masyarakat. Program ini memerlukan penyertaan dan penglibatan aktif
orang kurang upaya, ibu bapa/keluarga/penjaga dan masyarakat setempat dengan
memaksimumkan penggunaan sumber tempatan yang sedia ada dalam komuniti. PDK juga
merupakan satu pendekatan pembangunan ke arah sokongan dan kesedaran masyarakat
dalam membantu orang kurang upaya untuk mengecapi taraf hidup yang lebih selesa.

• Penempatan Kerja
Jabatan juga berusaha mendapatkan pekerjaan untuk orang kurang upaya di Bengkel
Terlindung (sheltered workshop) seperti Bengkel Daya Klang, Selangor Bengkel dan Sungai
Petani, Kedah. Objektif penubuhan Bengkel Terlindung ini adalah untuk mewujudkan
peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya yang tidak mampu bersaing di pasaran
terbuka dan pada masa yang sama melatih mereka berdikari dan diintegrasikan ke dalam
masyarakat.

Syarat-syarat kemasukan :
o Orang kurang upaya anggota/akal yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan.
o Telah mendapat latihan dari TSH, Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi atau Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Setempat.
o Sihat tubuh badan dan boleh menguruskan keperluan sendiri.
o Berusia 18 hingga 45 tahun.
o Terlatih dalam bidang-bidang yang dipohon.

Perkhidmatan yang disediakan oleh Bengkel Daya ialah :
o Khidmat jahitan.
o Khidmat percetakan.
o Perkhidmatan am (unit ini menjalankan kerja-kerja ringan sub-kontrak dari kilangkilang yang berhampiran, contohnya pemasangan komponen produk-produk yang berasaskan plastik, getah, aloi dan sebagainya).
o Khidmat kraftangan dan lain-lain.

• Perkhidmatan kaunseling dan nasihat
Bagi orang kurang upaya atau keluarga mereka yang menghadapi masalah dari segi emosi,
keyakinan diri dan sebagainya atau memerlukan maklumat berkaitan jenis-jenis
perkhidmatan yang diperlukan, bolehlah mendapatkan khidmat tersebut daripada
Pegawai/Pembantu Kebajikan Masyarakat yang berkelayakan atau kaunselor di Pejabat
Kebajikan Masyarakat Negeri-Negeri.

• Kemudahan pendidikan
Kementerian Pelajaran di bawah Jabatan Pendidikan Khas menyediakan program khas
kepada kanak-kanak dari kategori kurang upaya penglihatan, pendengaran dan bermasalah
dalam pembelajaran. Program pendidikan dijalankan di sekolah pendidikan khas dan melalui
program integrasi dan inklusif di sekolah biasa.Kerajaan mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar kurang upayapendengaran yang mengikuti latihan kemahiran di institusi-institusi pengajian di bawahkelolaan Kementerian Pelajaran. Pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi diberi elaun bulanan sebanyak RM 300 sebulan (kemudahan ini adalah di
bawah kelolaan Kementerian Penggajian Tinggi). Pelajar-pelajar kurang upaya di sekolah
rendah dan sekolah menengah diberi elaun sebanyak RM 25 sebulan (kemudahan ini di
bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Khas).

• Kemudahan akses untuk orang kurang upaya
JKM juga telah mengambil inisiatif dan memainkan peranan dalam menggalakkan pelbagai
kemudahan diwujudkan bagi membolehkan mereka yang kurang upaya bergerak bebas.
Satu daripada pencapaian ini ialah penubuhan Jawatankuasa Teknikal yang urus setianya
ialah SIRIM yang telah merangka “Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya Ke
Bangunan Awam”. Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 berkaitan dengan
kehendak-kehendak bangunan untuk orang kurang upaya telah dipinda iaitu bangunan baru
diwajibkan mempunyai kemudahan akses kepada orang kurang upaya. Antaranya
termasuklah “ram” dan “railings”, laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda, lif khas
dengan reka bentuk yang sesuai, tempat letak kereta, tandas khas dan sebagainya.

• Kemudahan dan galakan pelepasan cukai pendapatan
Pada tahun 1981, kerajaan telah memperluaskan potongan cukai berganda kepada majikanmajikan
yang melatih dan mengambil pekerja kurang upaya. Mulai tahun tahun 1991 pula,
kerajaan memberi pelepasan cukai sebanyak RM 5,000 kepada pembayar cukai yang
mempunyai anak kurang upaya. Kerajaan juga memberi pelepasan cukai sehingga RM
5,000 (maksimum) kepada pembayar cukai bagi membeli alat-alat khas bagi kegunaan
sendiri atau kegunaan anak dan ibubapa yang kurang upaya. Sebagai galakan berterusan
bagi meningkatkan taraf hidup orang kurang upaya, kerajaan telah memberi pelepasan cukai
sebanyak RM 6,000 sebagai tambahan kepada pelepasan diri sebanyak RM 8,000. Bagi
pasangan yang kurang upaya pelepasan tambahan sebanyak RM3,500 diberikan sebagai
tambahan kepada pelepasan sebanyak RM 3,000.

• Pengecualian cukai jalan
Jabatan Pengangkutan telah menyediakan kemudahan pengecualian cukai jalan (road tax)
bagi orang kurang upaya fizikal yang menggunakan kenderaan kereta, van dan motosikal
buatan tempatan mulai tahun 2004. Syarat-syarat :
o Kereta, van dan motosikal nasional sahaja.
o Berdaftar dengan JKM (kurang upaya anggota).
o Kenderaan didaftarkan di bawah nama pemohon.
o Memiliki lesen memandu yang sah.
Pengecualian diberi hanya pada sesebuah kenderaan dalam satu masa.

• Kemudahan pengangkutan awam
Jabatan sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat pengangkutan supaya memberi tambang
konsesi kepada orang kurang upaya. Sehingga kini terdapat beberapa buah syarikat
pengangkutan telah memberi insentif pengangkutan kepada golongan kurang upaya.
Antaranya SISTEM PENERBANGAN MALAYSIA (MAS) memberi tambang murah sehingga
50 peratus bagi penerbangan dalam negeri, KERETAPI TANAH MELAYU (KTM) memberi
tambang konsesi sehingga 50 peratus bagi semua perjalanan bagi semua kelas, Syarikat
bas TRANSNATIONAL memberi konsesi 50 peratus dari harga tambang dan PUTRA-LRT
juga telah memberi konsesi tambang kepada golongan kurang upaya.

• Kemudahan perumahan
Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga menyediakan kemudahan-kemudahan kepada
orang kurang upaya bagi menyewa rumah-rumah kos rendah atau rumah pangsa DBKL
dengan memberi pengurangan kadar sewa kepada orang kurang upaya. Syarikat
Perumahan Nasional Negara (SPNB) memberi diskaun sebanyak 20 peratus kepada
golongan kurang upaya berpendapatan rendah untuk memperolehi rumah kos rendah dan
sederhana.

• Pengecualian bayaran rawatan perubatan
Orang kurang upaya dikecualikan daripada bayaran rawatan di hospital kerajaan termasuk
bayaran wad kelas tiga, bayaran pakar dan ubat-ubatan.

• Pengecualian bayaran dokumen perjalanan
Jabatan Imigresen mengecualikan bayaran dokumen perjalanan (pasport antarabangsa)
kepada golongan kurang upaya.

• Kemudahan peluang pekerjaan
Komitmen kerajaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya
terbukti melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988 yang telah dikeluarkan di mana kouta
satu peratus peluang pekerjaan di sektor awam diperuntukkan kepada golongan orang
kurang upaya. Bagi sektor swasta, Jawatankuasa Penggalakan Penggajian Orang Kurang
Upaya di sektor swasta telah ditubuhkan dalam tahun 1990 di bawah Jabatan Tenaga Kerja
Semenanjung Malaysia. Jawatankuasa ini bertujuan untuk menggalakkan majikan di sektor
swasta memberi peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya. Kod Amalan Penggajian
Orang Kurang Upaya di sektor swasta memberi garis panduan kepada agensi kerajaan,
majikan, pertubuhan majikan, pekerja, kesatuan sekerja dan pertubuhan orang kurang upaya
serta orang kurang kurang upaya sendiri untuk pendaftaran dan penempatan kerja orang
kurang upaya bekerja di sektor swasta. Orang kurang upaya boleh membuat pendaftaran di
mana-mana Pejabat Tenaga Rakyat Negeri, Daerah atau melalui Perkhidmatan
Pendaftaran Secara Online (SPOku) di laman web www.elx.gov.my.

• Kemudahan alat ganti orang kurang upaya
Kerajaan memberi pengecualian duti impot dan cukai jualan ke atas semua peralatan direka
khas untuk kegunaan orang kurang upaya.

• Pengecualian 50 peratus duti eksais ke atas kenderaan OKU anggota
Kementerian Kewangan telah memberikan pengecualian 50 peratus Duti Eksais ke atas
kenderaan cacat anggota yang berkeupayaan memandu sahaja dengan syarat :
o Pemohon berdaftar dengan JKM.
o Pemohon memiliki lesen memandu yang sah.
o Kenderaan tidak boleh dijual atau ditukar milik sehingga tamat tempoh 10 tahun
kecuali dengan kebenaran Perbendaharaan.
o Pengecualian hanya dibenarkan untuk sebuah kenderaan bagi setiap 10 tahun.
• Pencen terbitan

Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan pencen terbitan kepada
anak/tanggungan kurang upaya bagi penjawat awam yang meninggal dunia.

• Taksiran anak cacat
Seorang anak yang tidak kira apa jua umur yang cacat akal atau hilang upaya dari segi
jasmani dan secara kekal dan yang tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri.
Prosedur :
o Waris hendaklah mengemukakan permohonan dengan menyatakan jenis kecacatan
anak tersebut.
o Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri berkenaan diminta membuat siasatan.
o Waris hendaklah membawa anak tersebut kepada pakar perubatan kerajaan bagi
penyakit berkenaan untuk dilengkapkan Laporan Pemeriksaan Pakar Perubatan.
o Dokumen-dokumen yang diperlukan :
Satu salinan surat beranak anak tersebut dan salinan kad pengenalan bagi anak
yang berumur lebih 18 tahun.
Sekeping gambar foto anak yang menunjukkan anggota sepenuhnya (full length
photograph).
Satu salinan kad pengenalan waris atau penjaga (jika anak tersebut tidak
dipelihara oleh ibu/bapa kandung atau ibu/bapa kandung telah meninggal dunia).
Melengkapkan Surat Akuan Pengesahan Penjaga (JPA/PT9) yang boleh diperolehi di
Bahagian Pencen, JPA. Borang ini hanya perlu diisi oleh penjaga yang bukan terdiri dari ibu
atau bapa kandung sahaja.

• Waktu bekerja bagi Pegawai Perkhidmatan Awam yang mempunyai anak-anak kurang
upaya
Pegawai Perkhidmatan Awam yang mempunyai anak kurang upaya dibenarkan
mengunakan waktu bekerja biasa untuk menguruskan kebajikan dan keperluan anak mereka
dengan syarat masa yang digunakan itu digantikan bagi tujuan menyelesaikan tugas
hakikinya supaya perkhidmatan kerajaan tidak terjejas.

• Kemudahan Telekom
Telekom Malaysia menyediakan insentif/kemudahan kepada golongan orang kurang upaya
seperti berikut :
o Bayaran sewa bulanan dikecualikan kepada golongan kurang upaya.
o Panggilan 103 (operator) tidak dikenakan sebarang caj.
o Menyediakan panggilan menunggu atau panggilan pindahan secara percuma.
Bagi orang kurang upaya berumur 18 tahun dan ke atas, mereka layak memohon
menggunakan maklumat sendiri dan bagi mereka berumur 18 tahun dan ke bawah mereka
juga boleh memohon perkhidmatan bagi pihak keluarga mengikut syarat-syarat dan
peraturan yang ditetapkan oleh pihak Telekom Malaysia.

Penutup
Melalui kempen seperti ini, diharapkan golongan orang kurang upaya tidak melepaskan
peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada mereka. Ini dapat mendidik
orang kurang upaya agar berdikari dan menikmati segala kemudahan yang diberi seperti
warga Malaysia yang lain. Orang ramai pula perlulah menerima orang kurang upaya
sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat. Kehadiran mereka bukan untuk dihina tetapi
kita perlulah memahami dan membantu mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

Sumber maklumat :
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat

No comments: